POLIS mengesahkan tiga suspek bersenjatakan kapak dan kuku kambing telah merompak sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Genting Highlands di Bentong hari ini.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kumpulan itu memasuki kedai emas terbabit kira-kira jam 11.40 pagi.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya termasuk mengenal pasti jumlah pekerja yang berada dalam premis perniagaan ketika rompakan berlaku.
“Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah negeri, bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan polis bantuan Genting Highlands masih di lokasi kejadian.
“Polis turut melancarkan Op Tutup di semua laluan keluar dan masuk ke Genting Highlands untuk mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Menurut Azry Akmar, perkembangan lanjut mengenai kes itu termasuk hasil siasatan akan dimaklumkan kelak.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai sebuah kedai emas di Genting Highlands dirompak.
Turut tular visual suspek berpakaian hitam, memakai topi dan membawa guni berlari di dalam kompleks beli-belah berkenaan.
Suasana di pusat peranginan itu hari ini kecoh berikutan dakwaan berlaku satu kejadian rompakan membabitkan sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di kawasan berkenaan.
Dakwaan itu mula tular dalam aplikasi Threads, selepas beberapa pengunjung berkongsi maklumat dan rakaman video yang menunjukkan keadaan semasa di lokasi kejadian.
Orang ramai turut melaporkan kesesakan jalan raya teruk menuju ke kawasan berkenaan susulan sekatan dan pemeriksaan polis yang ketat selain pergerakan (lockdown) sementara bagi mengesan suspek.
Menerusi hantaran Threads di akaun @j00raaaa, satu video berdurasi pendek memaparkan dua individu berpakaian serba hitam melarikan sebuah beg guni besar di dalam pusat beli-belah terbabit.
Pengunjung yang berada di lokasi turut memaklumkan pergerakan keluar dari kawasan peranginan berkenaan disekat seketika bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.
Ekoran insiden berkenaan, laluan keluar dan arah turun dari Genting Highlands mengalami kesesakan teruk.





