Harga petrol tanpa subsidi:  RON97 naik 10 sen, RON95 naik 15 sen

HARGA petrol RON97 serta RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 10 sen dan 15 sen seliter di seluruh negara mulai esok, manakala harga diesel tanpa subsidi pula naik 20 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam  kenyataan berkata, RON97 ditetapkan RM4.25 seliter berbanding RM4.15 setakat hari ini dan RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM3.77 seliter naik berbanding RM3.62 sebelum ini.

Harga diesel tanpa subsidi pula naik daripada RM4.47 kepada RM4.67 seliter. Semua harga itu berkuat kuasa hingga 26 Ogos.

 Sementara itu, harga minyak bersubsidi kekal tidak berubah. RON95 di bawah BUDI95 kekal RM1.99 seliter dan diesel menerusi BUDI Diesel terus dijual RM2.10 seliter.

Harga subsidi bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi masing-masing turut tidak berubah pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan berkata ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.

Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia

“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia.

“Kerajaan bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin,” kata kenyataan itu.

MoF  menyeru rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu untuk membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here