
Oleh : Dr. Mohd Firdaus Abdullah
BAHAGIAN AKHIR
PENGALAMAN luar negara turut memperlihatkan bagaimana perbezaan identiti politik dan agama boleh berkembang menjadi keganasan apabila gagal diurus dengan baik. Contoh yang cukup jelas ialah konflik di Ireland Utara yang dikenali sebagai The Troubles.
Konflik yang memuncak sejak penghujung 1960-an itu melibatkan pertentangan antara kelompok nasionalisdan republikan yang kebanyakannya berlatarbelakangkan Katolik dengan kelompok unionis dan loyalis yang kebanyakannya berlatarbelakangkan Protestan.
Namun, adalah kurang tepat sekiranya konflik tersebut dianggap semata-mata sebagai peperangan antara dua agama Kristian. Persoalan sebenar turut melibatkan kedudukan Ireland Utara dalam United Kingdom, identiti kebangsaan, hak politik, diskriminasi dan hubungan masyarakat dengan institusi kerajaan.
Sepanjang konflik tersebut, lebih 3,500 orang kehilangan nyawa. Apa yang menarik dari sudut sejarah ialah proses keamanan akhirnya memerlukan pengiktirafan terhadap kewujudan dua komuniti yang mempunyai identiti dan aspirasi politik berbeza.
Perjanjian Belfast atau Good Friday Agreement pada 10 April 1998 memperkenalkan perkongsian kuasa, perlindungan hak serta pengiktirafan terhadap identiti kedua-dua komuniti. Perjanjian itu tidak menghapuskan perbezaan politik atau agama yang telah lama wujud, tetapi menyediakan kerangka institusi untuk membolehkan masyarakat mengurus perbezaan tanpa kembali kepada keganasan.
Bagi saya, pengalaman Ireland Utara memberikan satu pengajaran yang sangat penting. Keamanan tidak semestinya tercapai apabila semua pihak menerima fahaman yang sama.
Keamanan boleh dibina apabila pihak yang berbeza bersedia mengiktiraf hak masing-masing untuk terus wujud, bersuara dan mengambil bahagian dalam kehidupan politik. Pengalaman yang lebih dekat dengan Malaysia pula dapat dilihat melalui konflik di Maluku, Indonesia, yang tercetus pada tahun 1999.
Pertentangan antara kelompok masyarakat Islam dan Kristian di wilayah tersebut berkembang menjadi keganasan yang menyebabkan kehilangan nyawa, perpindahan penduduk serta kemusnahan rumah dan kemudahan awam.
Namun, sama seperti Ireland Utara, konflik Maluku juga tidak boleh disederhanakan sebagai pertembungan agama semata-mata. Ketegangan masyarakat turut berkait dengan persaingan politik tempatan, hubungan antara komuniti, kelemahan institusi keselamatan dan penglibatan kumpulan bersenjata.
Perkara yang menarik ialah bagaimana konflik tersebut akhirnya cuba ditangani melalui Perjanjian Malino II pada Februari 2002. Dokumen perjanjian yang dimeterai oleh wakil masyarakat Islam dan Kristian itu bukan sahaja menuntut penghentian keganasan, tetapi turut memberikan perhatian kepada pelucutan senjata kumpulan bersenjata, penguatkuasaan undang-undang secara adil, kepulangan penduduk yang dipindahkan serta pemulihan kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat.
Saya melihat pengalaman Maluku sebagai bukti bahawa usaha mendamaikan masyarakat tidak boleh terbatas kepada seruan supaya mereka berhenti bermusuhan. Keamanan juga memerlukan pemulihan hubungan sosial, keyakinan terhadap institusi dan pembinaan semula kehidupan masyarakat yang telah terjejas.
Perbezaan agama tidak hilang selepas perjanjian dimeterai, tetapi masyarakat diberikan ruang untuk membina semula hubungan yang sebelumnya telah rosak akibat konflik. Satu lagi pengalaman yang memperlihatkan akibat paling buruk daripada politik identiti ialah peperangan di Bosnia dan Herzegovina antara tahun 1992 hingga 1995.
Dalam konteks tersebut, identiti agama berkait rapat dengan nasionalisme etnik dan perebutan wilayah selepas perpecahan Yugoslavia. Ketika kepercayaan terhadap kelompok lain semakin terhakis dan masyarakat dibahagikan mengikut garis etnik serta agama, keganasan berkembang sehingga melibatkan pengusiran penduduk dan pembunuhan beramai-ramai.
Tragedi Srebrenica pada Julai 1995, apabila lebih 7,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslim Bosnia dibunuh olehpasukan Serb Bosnia, kemudiannya diputuskan sebagai suatu perbuatan genosid oleh tribunal jenayah antarabangsa.
Sudah tentu, konteks dan skala peperangan Bosnia jauh berbeza daripada Peristiwa Memali. Saya tidak bermaksud menyamakan kedua-duanya. Namun, perbandingan sejarah ini penting untuk memperlihatkan bagaimana pembinaan imej sesuatu kelompok sebagai musuh, apabila digabungkan dengan perebutan kuasa, nasionalisme melampau dan penggunaan kekerasan bersenjata, boleh menghasilkan akibat yang sangat buruk terhadap masyarakat awam.
Daripada ketiga-tiga pengalaman tersebut, saya melihat satu persamaan yang penting. Perbezaan agama atau politik tidak secara automatik menghasilkan keganasan. Konflik berkembang apabila perbezaan tersebut bertemu dengan persaingan kuasa, ketidakadilan yang dirasakan atau dialami, kelemahan saluran penyelesaian pertikaian dan tindakan pihak tertentu yang mengeruhkan keadaan.
Agama dalam keadaan sedemikian boleh dijadikan bahasa untuk menggerakkan sokongan atau membenarkan tindakan politik, walaupun punca konflik sebenarnya lebih luas daripada persoalan kepercayaan agama itu sendiri. Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa tanggungjawab pemimpin politik dan agama sangat besar dalam memastikan perbezaan fahaman tidak berkembang menjadi permusuhan.
Pemimpin perlu menyedari bahawa sesuatu ucapan yang menimbulkan kebencian mungkin memberikan keuntungan politik dalam jangka pendek, tetapi kesannya terhadap hubungan masyarakat boleh berpanjangan. Dalam sejarah, kita dapat melihat bagaimana sentimen yang pada awalnya dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan politik akhirnya boleh berkembang di luar kawalan pihak yang mencetuskannya.
Pada masa yang sama, institusi negara perlu mempunyai keupayaan untuk bertindak secara adil dan membina keyakinan masyarakat. Penguatkuasaan undang-undang memang merupakan tanggungjawab penting kerajaan. Namun, apabila terdapat pertentangan antara masyarakat dengan pihak berkuasa, keputusan yang dibuat perlu mengambil kira keadaan setempat, hak masyarakat dan keselamatan nyawa.
Negara tidak sepatutnya melihat setiap perbezaan ideologi sebagai ancaman keselamatan, sebagaimana masyarakat juga tidak boleh menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk menentang undang-undang melalui kekerasan. Bagi masyarakat pula, pengajaran paling utama ialah keperluan membezakan antara kesetiaan kepada sesuatu perjuangan dengan tanggungjawab menghormati hak orang lain.
Kita boleh mempunyai pendirian politik yang berbeza, menyokong parti yang berlainan atau tidak bersetuju dalam mentafsir sesuatu persoalan agama. Namun, semua perbezaan itu tidak sepatutnya menyebabkan kita kehilangan rasa hormat terhadap kehidupan dan kemanusiaan orang lain.
Saya juga ingin menegaskan bahawa kita perlu berhati-hati dengan kecenderungan membaca konflik melalui pembahagian yang terlalu mudah, iaitu satu kelompok dianggap sepenuhnya benar, manakala kelompok lain dianggap sepenuhnya bersalah.
Pendekatan sedemikian mungkin memudahkan seseorang mempertahankan pendirian politiknya, tetapi tidak semestinya membantu kita memahami sejarah. Penelitian sejarah yang bertanggungjawab memerlukan kita melihat tindakan semua pihak, keadaan masyarakat serta struktur kuasa yang membentuk sesuatu peristiwa.
Akhirnya, pada pandangan saya, bahaya paling besar bukanlah apabila masyarakat mempunyai perbezaan fahaman, tetapi apabila perbezaan itu menyebabkan mereka berhenti melihat pihak lain sebagai manusia yang mempunyai hak, maruah dan kehidupan yang perlu dihormati.
Pada ketika itulah pertentangan politik dan agama boleh bertukar menjadi permusuhan yang membuka ruang kepada keganasan. Peristiwa Memali, konflik Ireland Utara, pergolakan Maluku dan tragedi Bosnia masing-masing berlaku dalam keadaan sejarah yang berbeza.
Namun, semuanya memberikan peringatan bahawa keamanan memerlukan lebih daripada sekadar ketiadaan pertumpahan darah. Ia memerlukan keadilan, kebijaksanaan kepimpinan, kepercayaan terhadap institusi dan kesediaan masyarakat untuk menerima kewujudan perbezaan.
Pada hemat saya, masyarakat yang matang bukanlah masyarakat yang tidak mempunyai perbezaan politik dan agama, tetapi masyarakat yang mampu mengurus perbezaan tersebut tanpa menjadikan nyawa manusia sebagai harga yang perlu dibayar.
*Penulis adalah pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.





