Isu Ismail Lasim: 24 daripada 25 ADUN BN-PN sepakat akur arahan parti

SEBANYAK 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, mencapai kata sepakat untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu perjumpaan khas yang berlangsung di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini malam ini.

“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN PN. Ini bagi memastikan segala kemelut politik sedang melanda di negeri ini, dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, mempengerusikan mesyuarat tersebut yang bermula 9 malam  berlangsung lebih dua jam.

Mohamad berkata dua ADUN Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) kini berada di luar negara, turut menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan malam ini.

Namun ADUN Juasseh merangkap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim tidak hadir pada mesyuarat itu.

Pada sidang medianya semalam, Ismail berkata Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugasnya, bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.

Susulan itu, Istana Negeri Sembilan hari ini menjelaskan bahawa mereka tidak meminta Datuk Ismail Lasim untuk kekal sebagai Menteri Besar, sambil menegaskan bahawa beliau mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan di dalam Dewan Undangan Negeri, bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.

Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata perkara itu memerlukan penyelesaian, susulan majlis menghadap Ismail ke atas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, pagi ini.

Kontroversi mengenai kedudukan Ismail timbul pada malam Isnin (16 Nov), apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BN, mengumumkan bahawa Menteri Besar itu telah meletak jawatan.

Zambry berkata Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan, yang didakwa dialamatkan dan dihantar kepada Tuanku Muhriz.

Pada hari Selasa, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here