Kerani kilang rugi RM101,000 terperdaya tawaran kerja sambilan

SEORANG kerani kilang kerugian RM101,007 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan bayaran serta komisen lumayan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa berusia 55 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira jam 10 pagi, 15 Ogos lalu.

Menurutnya, suspek kemudian menawarkan pekerjaan secara dalam talian dan meminta mangsa menyertai kumpulan WhatsApp serta Telegram yang disediakan.

“Mangsa seterusnya diarahkan melakukan beberapa tugasan termasuk membuat ulasan dan menekan butang ‘like’ pada laman media sosial.

“Selepas bersetuju dengan tawaran itu, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan mendapatkan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut membuat 14 transaksi pembayaran menggunakan wang simpanannya dengan jumlah keseluruhan RM101,007.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya sekali lagi diarahkan membuat pindahan wang sebelum diugut akan dikenakan penalti sekiranya gagal berbuat demikian.

“Mangsa mula curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu sebelum hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, semakan awal boleh dibuat menerusi portal rasmi Semak Mule bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod berkaitan penipuan sebelum sebarang transaksi dilakukan.

“Orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here