SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman empat individu yang terdiri daripada bekas pegawai adat, dua orang broker tanah dan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM900,000 sebagai balasan membantu urusan jual beli tanah di negeri tersebut.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos depan terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga lingkungan 60-an itu ditahan antara jam 4 petang dan 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Keningau.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu.
“Suspek yang merupakan bekas pegawai adat dan penjawat awam dipercayai menerima rasuah daripada dua broker tanah sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan oleh kedua-dua broker berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati tanah yang terlibat dalam urusan tersebut merupakan milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.





