Mangsa keempat kemalangan lori JIM stabil, masih dirawat di zon kuning HKL – Polis

SEORANG wanita yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika berjalan kaki bersama keluarganya di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kini berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, wanita berusia 55 tahun itu masih menerima rawatan di zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, pihaknya akan mengambil keterangan wanita berkenaan selepas keadaannya pulih bagi membantu siasatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa iaitu isteri kepada mangsa lelaki serta ibu kepada kedua-dua mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan dan kini masih lagi menerima rawatan di zon kuning HKL.

“Keadaannya setakat ini stabil dan selepas keadaan sudah baik kita akan dapatkan keterangan daripadanya,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

Terdahulu, media melaporkan pemandu lori JIM, Mohd Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar di Mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori JIM yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tangkapan warga asing.

Lori berkenaan memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Perlanggaran itu menyebabkan lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Tiga mangsa yang maut ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here