Kerjasama PH, BN dalam PRN Melaka ditentukan jawatankuasa rundingan – Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk membincangkan soal kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengetuai rundingan itu.

“Itu memang (dibincangkan oleh) jawatankuasa biasa. Kita sudah ada Amirudin dan Saifuddin untuk bincang,” katanya ketika ditanya sama ada persetujuan sudah dicapai untuk membentuk kerjasama dengan BN dalam PRN Melaka akan datang.

Perdana Menteri ditemui media selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026 di Arch Gallery di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Steven Sim.

Saifuddin sebelum ini memaklumkan, PH terbuka kepada perbincangan untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh.

Melaka dijadual mengadakan PRN dalam tempoh terdekat berikutan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir hujung tahun ini.

Persoalan mengenai kerjasama antara BN dan PH pada PRN Melaka masih belum dimuktamadkan, sekali gus membuka kemungkinan BN meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) seperti mana dilakukan mereka pada PRN Negeri Sembilan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here