DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pelaksanaan kerja membaik pulih perumahan petugas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) disegerakan tahun ini, menerusi peruntukan keseluruhan RM450 juta yang telah diluluskan.
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan program itu perlu dilakukan demi kebajikan peneroka tanpa menunggu proses Belanjawan akan datang.
“Sekurang-kurangnya perkara asas, bukan minta hotel lima bintang, saya minta rumah itu jangan bumbung bocor, tandas yang rosak.
“Rumah sendiri, rumah yang saudara duduk sekarang, itu saya fikir munasabah walaupun peruntukan awal itu disebut keseluruhannya RM450 juta ada dibuat secara fasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Bangi hari ini.
Anwar turut meminta Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman memastikan pengurusan perkara itu dilaksanakan dengan baik dan pantas.
“Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga Belanjawan (2027) kerana proses berkenaan boleh menyebabkan pelaksanaan projek tertangguh sehingga tahun depan.
“Kalau kita tunggu bulan Oktober, November baru dilulus, Disember, Januari dan Februari mula kerja, lambat, tidak siap. Jadi kita mula sekarang,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM450 juta bagi membiayai kerja membaik pulih dan pembinaan rumah baharu untuk petugas Felda di seluruh negara.
Pengumuman Perdana Menteri itu dibuat pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di Maran pada 7 Julai lalu.
Menurut Anwar, peruntukan itu bagi menyediakan kediaman lebih selesa kepada petugas bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada warga peneroka.





