Wanita antara enam individu didakwa culik warga Singapura

ENAM individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menculik lelaki warga Singapura dengan meminta wang tebusan sebanyak RM63,000, awal bulan ini.

M Balamurugam, 46; K Saravanan, 40, P Sri Devi, 41; G Puganeswaran, 38; S Gobinath, 38, dan X Adwin Nicholas, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan niat bersama menculik Al-Shameer Abdul Nassar dengan tujuan meminta wang tebusan sebanyak S$20,000 (RM63,000), di hadapan gereja di Jalan Orkid, Skudai, Johor Bahru kira-kira jam 2 petang pada 8 Ogos lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan, lapor BH.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini atas pertuduhan secara bersama-sama melarikan wanita warga Singapura dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah, di pangsapuri di Jalan Aman, Skudai dan beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, kira-kira 6.30 petang 11 Ogos lalu.

Di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, Balamurugam, Saravanan dan Gobinath turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Zainol atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta berupa seutas rantai leher emas dan seutas jam tangan jenama Rolex milik mangsa yang sama, di dalam kereta di sekitar Johor Bahru Utara di sini kira-kira jam 2 petang pada 8 Ogos lalu.

Mahkamah membenarkan Sri Devi, Adwin Nicholas dan Puganeswaran diikat jamin RM60,000 setiap seorang, manakala Balamurugam, Saravanan dan Gobinath sebanyak RM69,000 setiap seorang, selain menetapkan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 23 September depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.

Dalam pada itu, di kamar mahkamah berasingan, Majistret Nurzihan Abdul Rehman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 setiap seorang terhadap Sarawanan dan Puganeswaran selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa lelaki dengan menggunakan pisau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here