POLIS menahan 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) baru-baru ini bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan sebuah kilang sisa elektronik (e-waste) di Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua 10 anggota yang ditahan itu bertugas di Batalion 2 PGA di Kulim, Kedah.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 40 tahun dengan pangkat tertinggi Inspektor dan paling rendah Konstabel.
“Kes berkenaan masih dalam proses siasatan dan pegawai penyiasat daripada polis negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan lanjut.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan sebarang kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, lapor BH.
Muhammad memberitahu, siasatan lanjut berhubung kes itu dikendalikan Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan peranan setiap anggota yang ditahan atau jumlah pemerasan yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.





