Polis berkas pasangan kekasih bersama dadah RM9.7 juta

POLIS menahan sepasang kekasih kerana disyaki terbabit dengan pengedaran dadah bernilai RM9.7 juta menerusi serbuan yang dijalankan di dua lokasi di Butterworth, Jumaat lalu.

Pasangan warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada jam 2.25 petang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, suspek lelaki ditahan ketika serbuan pertama di kawasan parkir sebuah kondominium dan menemukan serbuk dadah jenis metilenedioksimetamfetamina (MDMA) dalam kereta jenis Perodua.

Menurutnya, polis kemudian dibawa oleh suspek ke sebuah lagi kondominium di kawasan sama dan menahan wanita yang dipercayai sebagai rakan sejenayah suspek.

“Pemeriksaan terhadap sebuah bilik menemukan pelbagai dadah jenis MDMA, ketamin, erimin 5, pil ekstasi dan plastik kartrij vape berisi cecair syabu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Dennis, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 221,649 orang penagih jika terjual di pasaran.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak Januari lalu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah serta negatif dadah.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan turut menyita wang tunai berjumlah RM2,300.

“Kedua-dua suspek direman selama seminggu sehingga 26 Jun depan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img