Lelaki cuba bantu warga emas, terperangkap di tingkat 14 pangsapuri

HASRAT seorang lelaki untuk membantu jiran berusia 78 tahun yang terperangkap di bukaan tingkap (beam) tingkat 14 sebuah pangsapuri di Jelutong, Georgetown hari ini tidak kesampaian apabila dia dan warga emas itu turut terperangkap.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang kemudian dipanggil untuk menyelamatkan kedua-dua lelaki berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.28 petang mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, operasi membabitkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.

“Sebaik tiba di lokasi didapati dua lelaki yang berusia 78 dan 50 tahun itu duduk di atas bukaan tingkap tingkat 14 pangsapuri berkenaan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berpakaian pelindung diri (PPE) lengkap membuat ‘size up’.

“Penyelamatan kedua-dua mangsa dilakukan dengan mengakses masuk daripada pintu rumah warga emas itu pada bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada jam 1.52 petang.

Beliau berkata, kejadian dipercayai bermula apabila lelaki warga emas berusia 78 tahun itu mahu keluar dari biliknya tetapi menyangka pintu bilik berkenaan terkunci.

“Warga emas itu kemudian bertindak keluar menerusi tingkap belakang bagi membuka pintu rumah dari hadapan.

“Bagaimanapun, tindakan warga emas itu tidak berjaya dan dikesan oleh jirannya berusia 50 tahun yang cuba membantu sehingga kedua-duanya kepenatan sebelum duduk di bukaan tingkap berkenaan,” jelasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here