POLIS telah mengambil keterangan 92 saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar sekolah menengah di kediaman keluarganya di Jalan Langkawi, Setapak di ibu negara baru-baru ini.
Proses itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, susulan laporan terbaharu yang dibuat oleh ibu kepada pelajar berusia 14 tahun itu pada jam 7.49 malam, 19 Ogos lalu.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Beliau juga memaklumkan, polis akan menyiasat sekiranya wujud sebarang unsur buli dalam kematian pelajar perempuan terbabit.
Menurut Fadil, kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu pelajar berkenaan pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 1.59 pagi, selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri di dalam bilik.
Katanya, pelajar itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki ambulans, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada jam 2.25 pagi.
“Bedah siasat telah dijalankan dan pegawai perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur memaklumkan punca kematian adalah ‘tekanan pada leher akibat tergantung’. Pada peringkat awal, satu laporan mati mengejut (SDR) dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak,” katanya.
Fadil menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat.
“Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Baldev Singh Gurdial Singh di talian 03-9289 9222 atau 012-480 6062, juga Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





