Bengkel lori jadi ‘stor’, 805 karton rokok seludup dirampas

SEBANYAK 805 karton rokok tidak bercukai dirampas selepas polis membongkar taktik sindiket menjadikan rumah pekerja dalam kawasan sebuah bengkel kenderaan berat di Kampung Sungai Rambai, Kuala Langat sebagai stor penyimpanan.

Serbuan kira-kira jam 6.30 petang Jumaat lalu itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Langat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, premis berkenaan merupakan rumah pekerja dalam kawasan bengkel kenderaan atau lori yang disewa sindiket untuk dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.

Katanya, seorang lelaki tempatan turut ditahan dan dipercayai berperanan sebagai penjaga premis serta mengatur tempahan rokok untuk dihantar kepada pembeli.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan bengkel kenderaan sebagai lokasi penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket turut membuat penghantaran rokok sekitar jam 8 pagi sehingga selesai kepada pembeli yang terdiri daripada peniaga kedai runcit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai dipasarkan di kedai runcit milik warga asing di sekitar kawasan Jenjarom.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai telah aktif menjalankan kegiatan berkenaan selama kira-kira empat bulan.

“Suspek yang ditahan berperanan menjaga premis dan mengatur tempahan untuk dihantar kepada pembeli yang telah disenaraikan oleh majikannya,” katanya.

Amanjit berkata, berdasarkan rekod, rangkaian sindiket sama pernah ditangkap Batalion 4 PGA dalam operasi di Bukit Raja pada Mac lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran rokok berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM304,893.50 dan kesemua tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, masyarakat turut diingatkan supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here