Empat tahun Kerajaan MADANI: Islam terus dimartabatkan, bukan siapa lebih islamik dalam ucapan

GENAP empat tahun Kerajaan MADANI pada 24 November 2026, satu perkara yang paling jelas dalam soal pembangunan Islam ialah perubahan dari segi komitmen kewangan dan dasar.

Jiak sebelum ini bantuan kepada institusi Islam sering dianggap sebagai pemberian bermusim, kini ia telah menjadi dasar tetap negara yang meningkat setiap tahun, dengan peruntukan hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM1.9 bilion pada 2024, RM2 bilion pada 2025, RM2.6 bilion pada 2026, dan RM3.1 bilion pada 2027, satu lonjakan yang belum pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara.

Peningkatan itu bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi diterjemahkan kepada perubahan nyata di masjid, surau, sekolah agama rakyat, pondok dan tahfiz di seluruh negara.

Ia memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menegaskan bahawa syiar Islam akan terus berdiri teguh dan menyeluruh di negara ini, dan kerajaan tidak akan membiarkan institusi pendidikan Islam seperti madrasah, maahad tahfiz dan pesantren terus terabai kerana ia berperanan mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam.

Perubahan paling besar ialah pemulihan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sejak 2003, apabila Kerajaan MADANI sejak 2022 mengembalikan semula peruntukan kepada institusi berkenaan dan menjadikannya dasar rasmi negara.

Ia adalah satu keputusan yang dibuat secara sebulat suara oleh Kerajaan Perpaduan walaupun gabungan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kerana kerajaan sedar anak-anak di maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat kini mencecah lebih 400,000 hingga setengah juta orang dan tidak boleh dibiarkan tanpa sokongan.

Bantuan itu disalurkan secara terus kepada institusi, apabila pada 2026 sahaja sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz, termasuk penggantian peralatan pengajian yang usang.

Pada 2027 jumlah itu dinaikkan kepada RM200 juta dengan skop diperluas merangkumi kos operasi institusi, manakala setakat 30 April 2026, sebanyak RM22.5 juta telah diagihkan kepada 309 institusi pendidikan Islam berdaftar bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf, meliputi keselamatan, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, naik taraf bangunan dan sistem perpaipan.

Kerajaan juga memberi tumpuan khas kepada institusi yang paling daif, apabila meluluskan RM34.81 juta bagi melaksanakan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara.

Ia termasuk lapan di Perak, untuk kerja-kerja segera seperti membaiki bumbung, tandas dan bilik darjah, kerana banyak sekolah pondok dilihat sangat daif dengan bangunan terbiar, lusuh dan mengalami kerosakan.

Kerajaan kini sedang merancang kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Maybank dan Khazanah serta syarikat swasta untuk mengangkat institusi-institusi ini sebagai anak angkat.

Namun pembangunan Islam di bawah MADANI bukan sekadar membaiki bangunan, tetapi juga mempersiapkan pelajarnya untuk masa depan, apabila 720 pelajar tahfiz menjalani latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA dalam bidang seperti kimpalan dalam air, automotif dan teknologi baharu.

Kerjasama JAKIM dan MDEC pula menyediakan peranti dan latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara, supaya pelajar pondok bukan sahaja mahir al-Quran tetapi juga berkemahiran dan berdaya saing dalam era digital dan kecerdasan buatan.

Untuk memastikan khazanah keilmuan turath terus terpelihara, kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa seperti Syeikh Ali Jumu’ah dan Syeikh Idris al-Fasi.

Selain itu turut diperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi memastikan institusi pondok terus berkembang dan kekal relevan, tanpa campur tangan dalam kurikulum tradisional pondok, kerana kerajaan hanya menambah elemen yang diperlukan seperti penguasaan bahasa Melayu, sejarah negara, pendidikan digital dan AI, bukan mengubah sistem pengajian yang telah lama menjadi benteng umat.

Institusi masjid pula dimartabatkan bukan sekadar sebagai tempat solat, tetapi sebagai pusat komuniti, pusat ilmu, perpaduan dan pembangunan ummah, melalui penganjuran Anugerah Masjid Malaysia.

Ia bagi  mengiktiraf masjid cemerlang dari segi pengurusan, pendidikan dan komuniti, serta Konvensyen Masjid sebagai platform perkongsian ilmu antara imam, ulama, umara, sarjana Islam dan teknokrat, manakala Majlis Sama’ Hadis 2026 dan Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi memberi peluang kepada umat Islam menghayati hadis Rasulullah SAW dengan bacaan tartil oleh para ulama muktabar.

Kebajikan petugas agama yang selama ini banyak berkorban di akar umbi turut diberi perhatian serius, apabila kerajaan menyediakan sumbangan khas RM750 kepada 70,000 petugas agama termasuk guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.

Selain itu 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas termasuk menggunakan bahasa isyarat dan al-Quran Braille menerima insentif khas RM150 sebulan.

Turut mendapat perhatian ialah langkah  kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO untuk 40,000 imam, bilal, tok siak, petugas masjid dan guru takmir dengan Tabung Haji sebagai agensi pelaksana, bagi memastikan perlindungan keselamatan sosial yang berterusan buat mereka.

Dari segi penyebaran al-Quran, Malaysia melangkah ke peringkat global apabila melalui Yayasan Restu dan JAKIM, negara mencetak satu juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia yang mendapat sambutan sangat positif di peringkat antarabangsa.

 Mushaf MADANI diperkenalkan sebagai sebahagian program tadabbur al-Quran di peringkat nasional, dan pembangunan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya bakal menjadi mercu tanda baharu dunia Quranik negara, membuktikan Islam di Malaysia bukan sekadar untuk umat tempatan, tetapi juga sebagai sumbangan kepada dunia.

Dalam soal ibadah haji, kerajaan memperkukuh kebajikan umat Islam dengan menaikkan had pengeluaran KWSP untuk tujuan haji daripada RM3,000 kepada RM10,000.

Penjawat awam pula dibenarkan membuat pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta, dan hasilnya pengurusan haji Malaysia diiktiraf sebagai terbaik di dunia selama lima tahun berturut-turut, manakala Tabung Haji menerima Anugerah Diamond buat kali kedua berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 1447H / 2026M.

Pembangunan Islam juga diperluas kepada ekonomi umat, apabila Malaysia terus unggul menduduki tempat pertama dunia buat kali ke-12 berturut-turut berdasarkan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2024

Iindustri halal negara pula menduduki tempat pertama di dunia, dan kerajaan memperkukuh lagi industri itu melalui geran padanan sehingga RM5,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang ingin mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama, serta geran RM25,000 untuk memperkasa PKS halal dalam sektor berpotensi tinggi seperti kosmetik dan farmaseutikal.

Di peringkat komuniti, kempen #MadaniMembantu yang dilancarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjadi teras pengukuhan bantuan kerajaan, dengan sokongan diberi sedaya upaya kepada masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz, institusi pondok, asnaf dan pelajar institusi agama melalui bantuan sara hidup, pendidikan serta pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI.

Program seperti MADANI Kita dan Santuni Komuniti MADANI membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat melalui khidmat nasihat, saringan kesihatan, pendidikan, latihan dan pembangunan kerjaya.

Namun yang membezakan pendekatan MADANI ialah Islam tidak hanya dilihat sebagai soal ritual dan bangunan, tetapi sebagai soal nilai dan amanah, apabila Perdana Menteri menegaskan bahawa Islam tidak boleh dijadikan topeng untuk mengesahkan penyelewengan, rasuah dan penindasan serta meminggirkan golongan miskin.

Ia kerana usaha memperkukuh nilai Islam mesti disertai perubahan bagi memastikan negara lebih bersih dan kebajikan golongan miskin tidak diabaikan, dan sebab itu perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa dilihat sebagai sebahagian daripada perjuangan menegakkan Islam itu sendiri.

Cabaran yang masih ada ialah memastikan peruntukan yang meningkat setiap tahun ini benar-benar sampai dengan cepat dan telus ke institusi di peringkat bawah, kerana masih ada institusi yang menunggu agihan secara berperingkat melalui ICU JPM dan JAKIM.

Pada masa sama masih ada pondok tidak berdaftar yang belum dapat dibantu sepenuhnya, dan masih ada jurang dari segi kualiti guru, kemudahan asrama dan kebolehpasaran pelajar tahfiz yang perlu ditangani secara berterusan, bukan sekadar melalui peruntukan tahunan.

Kesimpulannya, empat tahun Kerajaan MADANI menunjukkan bahawa pembangunan Islam bukan soal siapa lebih Islamik dalam ucapan, tetapi siapa yang benar-benar membina, membiayai dan menjaga institusi Islam secara konsisten.

Dari RM1.5 bilion kepada RM3.1 bilion, dari 137 pondok yang dibaiki kepada 300 pondok yang didigitalkan, dari 70,000 petugas agama yang dihargai kepada sejuta naskhah al-Quran yang disebarkan ke seluruh dunia, dan jika asas ini terus dipertahankan, Islam di Malaysia akan terus mekar bukan sahaja sebagai syiar, tetapi sebagai kekuatan yang membina akhlak, ilmu, ekonomi dan kesejahteraan ummah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here