KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan boleh dijadikan rujukan kadar gaji minimum baharu mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan kos sara hidup.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata ia juga perlu mengambil kira inflasi, harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas yang semakin meningkat.
Katanya, pelaksanaan struktur skala gaji minimum juga diharap dapat diperluas kepada kumpulan pekerja berpendapatan pertengahan bagi memastikan kenaikan pendapatan selaras kemahiran, pendidikan dan pengalaman kerja.
“Langkah itu penting bagi mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran serta membolehkan syarikat bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji.
“Terdapat pekerja yang masih bergaji RM1,700 walaupun telah berkhidmat selama 10 tahun kerana ketiadaan struktur gaji,” katanya menurut Bernama.
Kamarul berkata, langkah kerajaan yang sedang menyemak semula kadar gaji minimum adalah wajar bagi pekerja di negara ini.
“Berdasarkan Akta Perundingan Gaji Negara, ia mewajibkan kajian kadar gaji minimum dibuat sekali setiap dua tahun, maka berbaki lima bulan lagi pengumuman kadar baharu perlu dilakukan.
“Berdasarkan kepada kenaikan kadar gaji minimum yang dibuat pada Februari 2025 maka sepatutnya kadar baharu akan bermula pada Februari 2027.
“Kelewatan memberikan kadar baharu gaji minimum memungkinkan pekerja berada dalam keadaan lebih tertekan dengan kos barangan semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, MTUC sedia bekerjasama dengan kerajaan menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi mengemukakan idea serta pandangan mengenai kadar gaji minimum baharu.
Selasa lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan dilaporkan berkata kadar gaji minimum sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.





