Warga emas parah dipukul jiran guna batang besi

PERSELISIHAN faham dipercayai menjadi punca seorang warga emas cedera parah selepas dipukul jirannya menggunakan sebatang besi di Jalan Perak, Georgetown, pagi tadi.

Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan dialami dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di hadapan rumah mangsa.

“Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki serta masih menerima rawatan di HPP.

“Suspek kemudian ditahan polis dan turut dirampas ialah sebatang besi di rumah suspek yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Rozak berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

“Suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring berhampiran motosikalnya, selain sebuah motosikal yang dipercayai ditunggang suspek.

Sementara itu, menantu mangsa yang dikenali sebagai Ong berkata, bapa mentuanya meronta kesakitan selepas kejadian, namun dia tidak berani mengangkat atau mengalihkan mangsa.

“Kami hanya mampu menunggu bantuan daripada petugas kesihatan sebelum dia dibawa ke hospital dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

“Suspek adalah penduduk di kawasan kejiranan itu dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here