Formula Melaka: Zahid tak cari pasangan, BN cari kemenangan

Oleh Shahbudin Embun

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin menarik apabila Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa formula kerjasama politik yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh disalin bulat-bulat ke Melaka.

Pada hemat saya, kenyataan ini bukan sekadar kenyataan biasa seorang Presiden parti. Ia membawa mesej politik yang cukup jelas: BN mahu menentukan formula berdasarkan realiti politik Melaka, bukannya terikat kepada mana-mana formula yang telah digunakan di negeri lain.

Lebih menarik apabila Zahid menegaskan bahawa setiap negeri mempunyai geopolitik dan dinamik politik tersendiri, manakala kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan mesti dinilai berdasarkan prinsip “kemanfaatan yang lebih daripada mudarat.” Inilah sebenarnya kata kunci kepada PRN Melaka.

Pada saya, persoalan PRN Melaka tidak harus dilihat secara mudah sebagai pilihan antara BN-PH atau BN-PN. Politik tidak semestinya hitam dan putih. Yang perlu dikira ialah: formula mana yang mampu memberikan kemenangan paling banyak kepada BN dan pada masa sama memastikan kestabilan kerajaan negeri?

Dalam konteks ini, “keuntungan BN” bukan sekadar berapa banyak kerusi yang boleh diperoleh UMNO atau BN.

Ia melibatkan kekuatan calon, penerimaan pengundi Melayu, pengundi bukan Melayu, golongan muda, undi atas pagar, risiko pertandingan tiga penjuru serta kemampuan BN membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Dengan kata lain, matematik kerusi mesti mengatasi sentimen parti.

PH atau PN – Kedua-dua ada kelebihan dan risiko

Sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan PH, kelebihannya ialah pertandingan sesama parti Kerajaan Perpaduan dapat dielakkan di kawasan tertentu. Namun, risikonya juga perlu dikira.

Sebahagian pengundi Melayu yang tidak selesa dengan PH mungkin memilih PN sebagai alternatif. Jika ini berlaku, kerjasama BN-PH boleh menghasilkan manfaat di satu kawasan tetapi membawa mudarat di kawasan lain.Begitu juga sekiranya BN memilih PN.

Kerjasama dengan PN mungkin mengukuhkan sebahagian undi Melayu, tetapi pada masa yang sama boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi sederhana dan bukan Melayu yang selama ini menjadi sebahagian daripada kekuatan BN. Justeru, tidak ada formula yang sempurna. Setiap formula mempunyai kos politiknya sendiri.

Formula ketiga: Kerjasama berdasarkan kerusi

Sebab itu saya melihat satu kemungkinan yang lebih pragmatik untuk Melaka — tidak semestinya seluruh negeri menggunakan satu formula yang sama.

Formula boleh ditentukan berdasarkan kerusi. Ada kerusi yang BN mempunyai kekuatan dan boleh bergerak sendiri. Ada kerusi yang kerjasama dengan PH lebih memberi peluang kemenangan. Ada pula kawasan yang memerlukan pendekatan politik yang berbeza berdasarkan komposisi pengundi dan kekuatan calon.

Maka prinsipnya mudah: Bukan siapa mendapat paling banyak kerusi di atas kertas, tetapi siapa mampu menyumbang paling banyak kerusi kepada kemenangan kerajaan. Inilah yang saya namakan sebagai Formula Melaka.

Abd Rauf pegang kunci penting

Keputusan Zahid memberikan mandat kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN dan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan rundingan sebelum dibawa ke peringkat nasional juga sangat signifikan.

Ini bermakna suara dan realiti politik di peringkat negeri perlu menjadi asas kepada keputusan akhir.

Ab Rauf dan kepimpinan BN Melaka lebih dekat dengan denyut nadi setiap kawasan, mengenali kekuatan dan kelemahan calon serta memahami sentimen sebenar pengundi di lapangan.

Rundingan tidak boleh hanya berdasarkan persepsi politik di media sosial atau andaian di peringkat pusat. Data lapangan, kekuatan calon dan peta kerusi mesti menjadi asas keputusan.

PN tidak boleh dipandang ringan

Dalam apa juga formula yang dipilih, satu perkara tidak boleh dinafikan — PN tetap merupakan faktor penting. Jika BN dan PH bertembung sesama sendiri, undi boleh berpecah dan PN berpotensi menjadi penerima manfaat.

Tetapi jika BN dan PH terlalu rapat tanpa mengambil kira sentimen pengundi Melayu, PN juga boleh mendapat ruang. Inilah dilema sebenar yang perlu dihadapi BN. Silap membaca satu kelompok pengundi boleh mengubah keputusan satu-satu kerusi.

Calon jadi faktor penentu

Selain formula parti, saya percaya satu lagi faktor terbesar dalam PRN Melaka ialah calon. Logo parti memang penting, tetapi calon yang mempunyai penerimaan rakyat, rekod perkhidmatan yang baik dan mampu bekerja merentasi kelompok masyarakat boleh menjadi penentu kemenangan.

Sebaliknya, calon yang lemah boleh menyebabkan formula politik yang baik sekalipun gagal. Sebab itu dalam PRN Melaka nanti, prinsip “calon adalah segalanya” perlu diberi perhatian serius.

KESIMPULAN

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya menunjukkan BN sedang memasuki fasa yang lebih berhati-hati dan strategik. BN tidak mahu mengulangi formula negeri lain secara automatik. BN mahu melihat apa yang paling sesuai untuk Melaka. Pada saya, inilah pendekatan yang tepat.

PRN Melaka bukan pertandingan untuk menentukan siapa paling setia kepada PH atau PN. Ia adalah pertandingan untuk menentukan siapa paling bijak mengurus realiti politik, mengelakkan pecah undi dan menghasilkan kemenangan. Maka persoalan sebenar bukan lagi: “BN akan memilih PH atau PN?”

Tetapi formula mana yang memberikan BN paling banyak kemenangan dengan paling sedikit mudarat?” Jawapannya hanya akan diperoleh apabila peta kerusi, calon dan sentimen pengundi Melaka dikaji secara mendalam. Satu perkara yang pasti:

Zahid tidak sedang mencari pasangan politik semata-mata. Zahid sedang mencari formula kemenangan BN di Melaka. Dan pada akhirnya, Formula Melaka mestilah formula yang menang — bukan sekadar formula yang nampak cantik di atas kertas.

*Penulis adalah penganalisis politik



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here