SEORANG guru tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Muhammad Ilyas Jamaludin, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur 10 dan 11 tahun di premis berkenaan antara bulan lalu hingga bulan ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14 (a) dan 14 (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, manakala Seksyen 16(1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15(f) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius, selain dibimbangi akan mengganggu mangsa jika dibebaskan.
Peguam Zaharudeen Harun yang mewakili lelaki itu memohon jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan atas alasan anak guamnya diberhentikan kerja serta-merta dan perlu menanggung ibu bapa uzur.
“Saya difahamkan pihak madrasah telah menamatkan perkhidmatan tertuduh serta-merta dan tiada sebarang isu dia ke madrasah tersebut bagi mengganggu saksi atau mangsa.”
Hakim Ho Kwong Chin membenarkan lelaki itu diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 5 Okt ini.





