FINAS perlu lebih pantas, telus urus penggiat industri – Fahmi

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu memastikan proses pelesenan, permohonan dana dan maklum balas kepada penggiat industri dilaksanakan dengan lebih pantas, jelas dan telus.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara tiga jangkaan operasi yang ditetapkan kepada FINAS susulan perkembangan pesat industri kandungan ketika ini.

“Saya menetapkan tiga jangkaan operasi kepada FINAS, iaitu mempermudah urusan industri melalui proses pelesenan, dana dan maklum balas yang lebih pantas, jelas serta telus.

“Kedua, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di Menara FINAS dan Kompleks Studio Merdeka dan ketiga, membangunkan ekosistem yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Petaling Jaya, hari ini.

Fahmi berkata, kuasa yang diberikan kepada FINAS menerusi pindaan undang-undang bukan sekadar bertujuan menambah bidang tugas agensi itu, sebaliknya perlu digunakan bagi membangunkan industri dan menjaga kepentingan penggiatnya.

“Pindaan undang-undang bukanlah matlamat akhir. Yang lebih utama ialah bagaimana kuasa dan tanggungjawab tersebut digunakan untuk membina industri yang lebih teratur.

“Ini juga melindungi kepentingan pekerja serta memastikan FINAS kekal relevan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, perubahan pesat dalam industri kandungan termasuk kemunculan platform digital dan perkhidmatan penstriman memerlukan FINAS bergerak seiring dengan perkembangan berkenaan.

Katanya, pindaan ketiga Akta FINAS yang diluluskan Parlimen tahun lalu antara lain memperluas skop agensi itu supaya lebih sesuai dengan perubahan cara kandungan dihasilkan, diedarkan dan ditonton.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kebajikan tenaga kerja dalam industri kreatif tidak boleh dipinggirkan ketika sektor itu terus berkembang.

Menurutnya, kerajaan mahu tenaga kreatif yang profesional, kompeten dan dilindungi termasuk melalui kontrak standard industri, pembayaran yang adil, perlindungan sosial serta peluang pendidikan berterusan.

Beliau berkata, proses pelesenan juga akan dipermudah dan didigitalkan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja.

“Ukuran kejayaan dana ini mestilah pada karya yang siap, bakat yang berkembang dan pasaran yang berjaya ditembusi,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan FINAS supaya kemudahan baharu di Menara FINAS dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan industri filem, televisyen dan kandungan Over-The-Top (OTT) negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here