PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Damansara Damai, Petaling Jaya yang menjadi antara kemudahan penting dalam memperkukuh ekosistem industri kreatif negara.
Menara FINAS dibangunkan di atas tapak seluas 5.14 ekar dengan projek pembinaan bermula pada 20 Januari 2021.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bangunan berkenaan menghimpunkan pelbagai kemudahan bagi menyokong perkembangan industri perfileman dan kreatif negara.
Katanya, antara kemudahan yang disediakan ialah Dewan Panca Delima dan dua studio sound stage.
“Menara FINAS ini turut menempatkan Pawagam Digital P. Ramlee, ruang latihan, Mediatheque, Museum of Moving Image dan Film Vault yang menyimpan 81,770 bahan arkib audiovisual.
“Menara FINAS ini menerima Perakuan Siap dan Pematuhan pada 18 Disember 2025 serta Perakuan Siap Kerja pada 22 Mei 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara, hari ini.
Fahmi berkata, selepas perpindahan secara berperingkat, FINAS mula beroperasi sepenuhnya di menara berkenaan pada 6 Ogos 2026.





