BEKAS Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, pergerakan beliau dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering diintip oleh kumpulan pengganas ekstrimis global atau Islamic State (IS) sewaktu mengetuai Bahgian Antikeganasan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Menurutnya, penyelaras utama kumpulan IS di Malaysia telah merekrut rakyat tempatan melalui media sosial untuk mengintip dan memantau anggota dan pegawai keselamatan.
Disebabkan itu, beliau sentiasa mengambil langkah berwaspada apabila menyedari ada pihak memerhatikan gerak-gerinya ketika keluar berjoging di Taman Tasik Perdana.
“Mereka memantau pergerakan beberapa pegawai, termasuk Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu. Mereka tahu saya berjoging di Taman Tasik Perdana dan KPN ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyertai konvoi motosikal pada setiap Sabtu.
“Saya mendapat maklumat ini kerana kami juga berada dalam kumpulan itu untuk memantau mereka,” katanya dalam wawancara selepas bersara pada 26 Julai lalu sebagai Timbalan Ketua Polis Negara selepas 35 tahun berkhidmat dalam PDRM, lapor FMT.
IS merupakan sebuah kumpulan pengganas ekstremis global yang menggunakan kekerasan demi mencapai agenda politik dan ideologi radikal mereka.
Kumpulan yang turut dikenali sebagai ISIS atau ISIL ini mula digeruni dunia pada tahun 2014 selepas menguasai wilayah besar di Iraq dan Syria, sebelum tewas secara ketenteraan pada tahun 2019.
IS kini kekal dikategorikan sebagai antara ancaman keselamatan antarabangsa yang paling berbahaya. Fokus mereka kini beralih kepada aktiviti pengeboman, serangan hendap, dan penyebaran ideologi secara digital melalui cawangan serantau mereka, terutamanya di Afrika dan Asia Tengah.
Ayob Khan mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara ketika mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dari 2016 hingga 2020, apabila beliau terbabit dalam usaha menumpaskan sel militan dan menggagalkan rancangan serangan pengganas.
Beliau berkata, tugas itu memerlukan langkah keselamatan tambahan, termasuk menggunakan kenderaan kalis peluru, menukar laluan perjalanan dan sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.
Ketika makan di restoran, beliau juga akan memilih tempat duduk yang menghadap ke luar supaya dapat memerhatikan pergerakan orang di sekelilingnya.
Menurut Ayob Khan, amalan keselamatan seperti itu berpunca daripada teknik yang dibangunkan ketika pasukan keselamatan memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) dari 1950-an hingga 1980-an.
Beliau berkata, polis memerlukan peruntukan undang-undang khusus untuk mencegah ancaman keselamatan besar, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. SOSMA sebelum ini berdepan kritikan dan gesaan supaya dimansuhkan.
Namun, Ayob Khan berpandangan, akta itu penting bagi membolehkan negara menangani ancaman keselamatan serius dengan berkesan, khususnya keganasan dan jenayah terancang.
Beliau bagaimanapun menegaskan pendiriannya bukan bermakna beliau mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), yang membenarkan penahanan tanpa bicara untuk tempoh tidak terhad, diperkenalkan semula.
ISA dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan SOSMA, yang membenarkan seseorang ditahan maksimum 28 hari bagi tujuan siasatan sebelum suspek perlu didakwa atau dibebaskan.
Ayob Khan berkata, prosedur reman biasa di bawah undang-undang jenayah tidak memadai untuk menangani operasi keganasan berskala besar yang membabitkan ramai suspek.
“Ketika saya dalam Bahagian Antikeganasan, bukan seorang sahaja yang saya tangkap. Dalam tempoh 24 jam, saya pernah menangkap 40 suspek,” katanya.
Beliau berkata, tempoh reman dua hari tidak mencukupi untuk penyiasat memeriksa semua barang rampasan, menganalisis telefon bimbit dan komputer riba serta melengkapkan siasatan terhadap puluhan individu.
Ayob Khan turut menegaskan undang-undang keselamatan yang tegas penting bagi mengelakkan ketegangan antara kaum daripada menjadi lebih buruk dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Beliau memberi contoh pergaduhan kaum yang pernah berlaku di Kampung Medan dan Kampung Rawa.
“Struktur masyarakat kita berbeza. Kita tidak boleh begitu sahaja menggunakan model yang diamalkan negara Barat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli politik supaya melihat kepentingan keselamatan negara dalam jangka panjang, bukannya mengejar keuntungan politik untuk tempoh singkat.





