SPRM teliti maklumat progam tanam semula sawit Felda Palong 7

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti maklumat diperolehi berkait program pembangunan dan penanaman semula sawit di Felda Palong 7, Wilayah Raja Alias di Negeri Sembilan.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, maklumat tersebut diterima daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (Perbagi), Mohd Syahrizal Md Yusuf berhubung persoalan dan kebimbangan berkaitan kualiti anak benih sawit untuk program berkenaan.

“Maklumat tersebut melibatkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka, termasuk perkara berkaitan pembekalan, penghantaran, penyimpanan, umur serta pematuhan spesifikasi anak benih sawit yang dibekalkan.

“SPRM mengambil maklum dakwaan dan kebimbangan yang dibangkitkan serta akan meneliti maklumat berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM,” kata kenyataan SPRM yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, SPRM turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya aspek teknikal berkaitan kualiti dan pematuhan spesifikasi anak benih diperiksa oleh agensi teknikal yang berkaitan.

Menurut SPRM, sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil penelitian dan maklumat yang diperoleh.

“SPRM menegaskan bahawa penerimaan maklumat tidak bermaksud mana-mana pihak telah melakukan kesalahan dan perkara tersebut tidak wajar dianggap sebagai satu kesimpulan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat,” katanya.

Media semalam melaporkan, sekumpulan generasi baharu peneroka Felda Palong 7 diketuai Syahrizal hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membuat aduan dan menyerahkan maklumat mengenai program berkenaan.

Menurut Syahrizal program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit itu dianggarkan bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta.

Beliau menggesa SPRM menyiasat perkara berkaitan pembekalan anak benih sawit, kos pembekalan, caj pengangkutan serta pelaksanaan kerja-kerja program tanam semula di rancangan berkenaan yang menjadi persoalan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here