SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus setia bersama parti itu sambil menaruh keyakinan masanya akan tiba untuk Bersatu kembali `menyinar’.
Ketegasan itu sekali gus menolak desas-desus beliau yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR akan kembali menyertai parti lamanya, meskipun wujud pelawaan daripada pucuk pimpinan parti itu kepada bekas ahli untuk berbuat demikian.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyeru bekas pemimpin dan aktivis parti itu kembali ke landasan perjuangan parti berkenaan.
Mohamed Azmin berkata, beliau yakin dengan parti yang disertainya sekarang dapat menjadi wadah perjuangan demi kelangsungan politiknya.
Menurutnya, walaupun Bersatu kini berdepan cabaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu memberi isyarat masanya akan tiba.
“Masa Bersatu akan tiba. Terus bekerja dengan ikhlas. Bersatu tetap menjadi wadah perjuangan saya. Saya tidak akan lemah semangat dengan satu kegagalan. Esok masih ada,” katanya, lapor BH.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) baru-baru ini menyeru bekas pemimpin dan aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman, dijangka menyertai semula PKR.
Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan kembali menyertai parti itu.
Pada 24 Februari 2020, Mohamed Azmin dipecat keanggotaan PKR kerana melakukan pengkhianatan terbuka.
Keputusan berhubung pemecatan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).





