SEORANG wanita hamil mengalami sesak nafas selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres setingkat di Jalan Tenaga 11, Taman Tenaga, Kajang, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.23 tengah malam.
Menurut JBPM Selangor, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dengan bantuan BBP Kajang tiba di lokasi pada jam 12.31 tengah malam.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah teres setingkat berkeluasan kira-kira 25 x 60 kaki.
“Rumah pertama musnah dianggarkan 60 peratus, manakala rumah kedua musnah kira-kira lima peratus,” menurut kenyataan itu.
JBPM berkata, mangsa wanita hamil berjaya keluar dari rumah berkenaan dengan sendiri sebelum mengalami sesak nafas.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Menurut kenyataan itu, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.49 tengah malam.
Operasi berkenaan membabitkan enam anggota dengan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS.





