PERLUMBAAN haram di Lebuhraya Linkedua yang tular baru-baru ini dipercayai membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM15,000.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, perkara itu diperoleh hasil soal siasat terhadap suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
“Hasil soal siasat suspek, lumba haram ini membabitkan wang pertaruhan RM15,000,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan video tular perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua, Johor, membabitkan seorang ‘joki’ dan dua penonton.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan polis pada jam 11.54 pagi, Ahad lalu.
Kelmarin, kesemua tangkapan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman turut memaparkan beberapa individu menutup jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.
Suspek turut membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan, selain beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada di bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.





