PEMPENGARUH permotoran antara lapan individu yang dipercayai terbabit dalam video tular perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua di Kulai, Sabtu lalu, direman empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret R Salini selepas membenarkan permohonan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Buletin TV3.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Kulai kira-kira jam 8.30 pagi dengan menaiki trak polis.
Kesemua mereka memakai topeng muka, manakala dua suspek termasuk pempengaruh berkenaan memakai hoodie bagi mengelak daripada dirakam.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 11.54 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Terdahulu, video tular berdurasi 33 saat memaparkan aksi dua penunggang motosikal dipercayai berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33, susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman itu turut memaparkan beberapa individu menutup laluan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.
Suspek juga dipercayai membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan, manakala beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada di bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.





