DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah dan dukacita susulan bencana banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa, Nepal.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut amat terkesan selepas dimaklumkan Kementerian Luar Negeri (KLN) bahawa 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini.
“Berdukacita menerima perkhabaran mengenai bencana banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa, Nepal.
“Usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan, manakala pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan di lapangan.
“Kerajaan MADANI menerusi KLN akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan menggembleng segala ikhtiar yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan.
“Insya-Allah,” katanya.





