SEORANG wanita warga Indonesia maut selepas kereta dinaiki bersama rakannya terbabas sebelum melanggar pokok dan terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, Tawau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari Proton Saga dinaiki sebelum mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, dipercayai tertidur ketika memandu sebelum kenderaan hilang kawalan.
“Kereta itu terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok dan terbalik ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu turut mengalami kecederaan pada muka dan tengkuk dalam kejadian berkenaan.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, namun penumpang disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 malam tadi,” katanya.
Rosdi berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta berkenaan adalah milik rakannya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.





