Banjir Nepal: 57 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi

SEBANYAK  57 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, angka itu berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan dan majikan setakat jam 11 malam tadi.

“Kementerian, melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan, sedang membuat semakan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Nepal.

“Pihak berkuasa tempatan di Nepal telah melaporkan bahawa 31 warganegara asing berjaya diselamatkan setakat ini. Kementerian belum menerima pengesahan sama ada terdapat warganegara Malaysia dalam kalangan mereka yang diselamatkan,” kata Wisma Putra.

Kementerian tersebut  turut menerima maklumat mengenai kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang memasuki kawasan terjejas melalui China dan India.

Sehubungan itu, Wisma Putra meminta ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan di rantau berkenaan tetapi masih belum berdaftar digesa menyalurkan maklumat kepada kementerian.

Wisma Putra berkata, perwakilan diplomatik Malaysia turut bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Sementara itu, kenyataan berkenaan memaklumkan Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya kini beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat serta membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat seperti nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon boleh menghubungi bilik operasi melalui talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui mwkathmandu@kln.gov.my dengan salinan e-mel dihantar kepada dutyofficer@kln.gov.my.

Rakyat Malaysia di Nepal dinasihatkan supaya berwaspada, mengutamakan keselamatan, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here