SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh.
Kerjasama itu juga melalui langkah saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan demi perkhidmatan kesihatan lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat.
Sehubungan itu, MCMC menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan RM350 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan RM1 bilion, bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam termasuk memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

Dalam satu kenyataan MCMC berkata, tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta ini akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dan melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan di hospital awam.
‘’Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi “Satu Individu, Satu Rekod”, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam.
‘’Kerjasama rentas Kementerian (whole-of-government) ini dijangka mempercepat usaha pendigitalan dari tahun 2045 ke tahun hadapan,’’ kata MCMC.
Menurut MCMC, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu dan kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
‘’Usaha ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam,’’ kata MCMC.
Sehubungan itu MCMC menghargai komitmen Kerajaan MADANI yang terus memberi keutamaan kepada langkah-langkah yang meringankan beban kewangan rakyat, di samping memperkukuh mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.





