LEBIH 30,000 perwakilan, pemerhati, ahli, penyokong serta pengunjung dijangka hadir ke Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, bermula 3 September hingga 5 September ini.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, jumlah tersebut dijangka lebih besar memandangkan muktamar tahun ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Intan Pas.
Katanya, jumlah perwakilan sahaja, termasuk daripada Dewan-dewan Pas di peringkat Pusat, dianggarkan sekitar 5,000 orang.
“Justeru, saya ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan, khususnya ahli Pas, para penyokong Pas, rakan-rakan Perikatan Nasional serta seluruh rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai” katanya lapor harakahdaily.
Muktamar akan berlangsung bermula 3 September bagi persidangan Dewan-dewan Pas, manakala Muktamar Tahunan Pas Pusat pula pada 4 dan 5 September.
Khairul Faizi berkata, orang ramai berpeluang mengunjungi PUTIK lebih awal, iaitu mulai 2 September, berikutan pelbagai persembahan, pameran dan aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.
Katanya, muktamar kali ini lebih istimewa kerana turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan Pas yang dikenali sebagai Jubli Intan Pas.
“Pelbagai acara menarik telah disusun dan akan dipersembahkan kepada para hadirin dan pengunjung yang hadir ke PUTIK.
“Muktamar akan bermula pada pagi 4 September dan insya-Allah ucapan dasar akan disampaikan oleh Presiden Pas sebelum program diteruskan sehingga 5 September,” katanya.





