MALAYSIA telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) berikutan bencana banjir besar di negara itu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, hari ini.
Katanya, dalam perbualan itu, perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal tempoh hari.
“Malaysia juga telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak SMART bagi membantu dan menyokong operasi SAR yang sedang dijalankan di lapangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menghadapi situasi berkenaan.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan untuk menghantar SMART ke Nepal, bagi membantu operasi SAR susulan bencana tersebut.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN), dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dengan Kerajaan Nepal, bagi membolehkan pasukan itu digerakkan sesegera mungkin.
“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan.





