SEORANG pelajar kolej swasta maut selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, premis kediaman jenis kondominium itu dijadikan asrama bagi penuntut kolej swasta berkenaan.
Katanya, mangsa yang juga pelajar semester pertama kolej berkenaan dilihat tiba di lokasi kejadian pada jam 7.07 pagi.
“Kira-kira 8.50 pagi, pihak polis menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan awal serta penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa tiba di kediaman terbabit jam 7.07 pagi, sebelum terjatuh dari koridor di tingkat 22,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa berusia 18 tahun itu disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.





