TIGA lelaki terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di Lahad Datu malam tadi.
Kereta jenis Proton Aeroback itu dipercayai terbabas ketika melalui selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam.
Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati empat lelaki dewasa terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Maklumat mengenai identiti mangsa belum diperoleh dan operasi ditamatkan pada jam 8.45 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat,” katanya.





