SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka sebanyak tujuh kertas siasatan berhubung isu penyelewengan, salah guna kuasa dan perlakuan rasuah membabitkan krisis pelaburan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai Ops Fella itu memfokuskan kepada transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pihak pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara tahun 2010 hingga 2020.
Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak enam kertas siasatan baharu sudah dibuka pada 24 Ogos lalu manakala satu lagi kertas siasatan lama yang masih aktif dan sedang menjalani proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
“Enam kertas siasatan baharu itu dibuka membabitkan isu pembelian dan pelaburan aset pada harga yang melebihi nilai penilaian sebenar, sekali gus dipercayai menyebabkan kerugian dialami oleh pihak Felda secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Menurut Abd Halim, tujuh kes berkaitan isu Felda yang dibuka dalam siasatan terbaharu SPRM pernah disiasat agensi itu atau didedahkan dalam laporan forensik organisasi itu, sebelum ini.
Beliau berkata, kes berkaitan Felda yang dibuka oleh SPRM dikesan mempunyai maklumat baharu yang menjadi asas untuk pihaknya meneliti semula kes itu.
“Enam kes yang saya umumkan adalah dibuka untuk siasatan baharu manakala satu kes kes iaitu membabitkan siasatan terhadap Grand Park City adalah kes yang mempunyai kesinambungan dalam siasatan terdahulu,” katanya.
Enam kes berkenaan berkenaan adalah:
1) Dataran Aras Sdn Bhd (DASB)
Felda membeli syarikat Dataran Aras Sdn Bhd (DASB) pada tahun 2011 dengan kos RM148.2 juta untuk projek ladang kelapa sawit di Limbang, Sarawak, tetapi berdepan masalah besar kerana tanah tersebut tidak dapat digunakan,
2) Grand Borneo Hotel Sdn Bhd
Pengambilalihan Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu, Sabah pada harga RM86.4 juta, yang turut disiasat SPRM. SPRM pada 2017 menyiasat pembelian hotel pada RM86.4 juta bagi menentukan sama ada berlaku kaedah pembelian dan terlebih bayar seperti kes hotel di London dan Kuching.
3) Merdeka Palace Hotel and Suites
Pembelian hotel di Kuching, Sarawak yang menjadi antara urus niaga hartanah FIC yang disiasat SPRM. Siasatan SPRM membawa kepada pendakwaan terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3.09 juta berkaitan pembelian hotel RM160 juta.
4) Park City Grand Plaza Kensington
Pembelian hartanah hotel di Kensington, London, yang turut menjadi subjek siasatan SPRM. SPRM membuka semula siasatan pada 2017 selepas memperoleh maklumat baharu. Siasatan terdahulu pada 2015 dilaporkan tidak menemui kesalahan mengikut Akta SPRM.
5) Felda Wellness Corporation Sdn Bhd
Penubuhan dan pengurusan syarikat biofarmaseutikal yang dikaitkan dengan pelbagai isu tadbir urus dan urus niaga meragukan. Kajian forensik Felda menemukan pelbagai kelemahan tadbir urus dan urus niaga
6) Felda House dan Grand Felda House
Pengambilalihan dua hartanah penginapan pelajar di Wembley, London, yang merupakan antara pelaburan FIC yang diperincikan dalam Kertas Putih Felda.
7) Kuala Lumpur Vertical City (KLVC)
Projek pembangunan di atas tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang mencetuskan isu pemindahan hak milik tanah dan tadbir urus projek. SPRM pada 2018 mendapati tiada unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perjanjian pemindahan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur,





