RINGGIT Ease Sdn Bhd (RESB), anak syarikat Shoraka Group melancarkan finEZ, platform digital perbandingan kewangan Islam yang membolehkan pengguna meneroka, membandingkan dan memilih produk kewangan patuh Syariah dalam satu platform.
Platform yang dilancarkan di ibu negara semalam itu dibangunkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan produk kewangan tanpa perlu melayari laman sesawang pelbagai institusi kewangan secara berasingan.
Melalui finEZ, pengguna boleh melihat dan membandingkan maklumat penting produk kewangan yang ditawarkan institusi yang mengambil bahagian sebelum membuat keputusan kewangan.
Sempena pelancaran itu, Pembiayaan Peribadi-i diperkenalkan sebagai kategori produk pertama yang tersedia di platform berkenaan.

Pengguna boleh membandingkan pelbagai aspek pembiayaan termasuk kadar keuntungan, jumlah pembiayaan, tempoh pembiayaan, syarat kelayakan dan anggaran bayaran ansuran bulanan.
Bagi produk Pembiayaan Peribadi-i terpilih, pengguna yang memenuhi syarat juga boleh meneruskan permohonan melalui finEZ, sekali gus menyediakan proses yang lebih mudah daripada pencarian produk sehingga ke peringkat permohonan.
Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Group, Datuk Mohd Hasnul Ismar berkata, finEZ dibangunkan bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat terhadap ketelusan dan akses lebih mudah kepada produk kewangan Islam.
“Pengguna hari ini mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini, namun proses membandingkan pilihan pembiayaan masih boleh mengelirukan dan mengambil masa.
“Kami membangunkan finEZ untuk memudahkan pengalaman tersebut dengan meletakkan maklumat yang relevan dalam satu platform, sekali gus membantu pengguna memahami dan membandingkan pilihan yang tersedia dengan lebih baik sebelum membuat keputusan kewangan yang termaklum,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, finEZ berbeza daripada platform perbandingan konvensional kerana ia dibangunkan berasaskan pendekatan Islamik-dahulu atau Islamic-first.
Pendekatan itu bertujuan menjadikan produk kewangan patuh Syariah lebih mudah difahami dan diakses oleh semua pengguna, termasuk mereka yang pertama kali memohon pembiayaan serta yang masih baharu dengan konsep kewangan Islam.
Pada peringkat awal, pengguna boleh meneroka produk Pembiayaan Peribadi-i daripada institusi yang mengambil bahagian dan menyemak maklumat produk dalam format yang lebih jelas serta mudah difahami.
Platform itu turut menyediakan kalkulator pembiayaan bagi membantu pengguna menganggarkan jumlah ansuran bulanan, selain membolehkan mereka menghantar pertanyaan mengenai produk yang memenuhi keperluan masing-masing.
Bagi produk terpilih, permohonan juga boleh dilakukan melalui finEZ, tertakluk kepada syarat kelayakan, proses kelulusan serta terma dan syarat institusi kewangan berkaitan.
Mohd Hasnul berkata Pembiayaan Peribadi-i hanyalah permulaan kerana finEZ dirancang untuk berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang lebih menyeluruh.
“Pembiayaan Peribadi-i hanyalah permulaan. Visi kami adalah untuk menjadikan finEZ sebagai destinasi yang dipercayai, di mana pengguna boleh mencari dan membandingkan pelbagai produk kewangan patuh Syariah yang lebih luas seiring dengan perkembangan platform ini,” katanya.
Pelancaran finEZ mencerminkan usaha RESB memperluas akses kepada kewangan Islam menerusi inovasi digital, selain membantu pengguna membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang lebih jelas.
Pengguna boleh mengakses finEZ di www.finez.my untuk meneroka dan membandingkan produk Pembiayaan Peribadi-i yang tersedia di platform berkenaan.





