SEBANYAK 1,476 pelarian Myanmar yang dikenal pasti untuk dihantar pulang ke negara asal sudah menandatangani dokumen persetujuan menyatakan mereka secara sukarela mahu kembali ke Myanmar.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri berhubung proses penghantaran pulang pelarian terbabit.
“1,476 pelarian Myanmar yang dimaksudkan sudah menandatangani satu dokumen yang memaklumkan bahawa mereka dengan sukarela ingin kembali ke Myanmar,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memaklumkan, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik kedua-dua negara.
Ia adalah langkah awal bagi menangani isu berkenaan selain memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, daripada lebih 10,000 pelarian Myanmar yang berada dalam tahanan depot imigresen, 5,000 nama sudah disaring Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dikemukakan kepada Kedutaan Myanmar.
“Daripada senarai nama itu, 1,476 dipersetujui oleh pihak Myanmar untuk mereka menerima kembali dan ini akan berlaku pada hujung September,” katanya.
Beliau menambah, Wisma Putra dan Menteri Luar turut memaklumkan bahawa 1,476 individu terbabit akan berada dalam keadaan selamat selepas dikembalikan ke Myanmar berdasarkan perkara yang dipersetujui dan difahami bersama kedua-dua negara.





