JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan sebanyak 123 warga asing dan enam rakyat tempatan selepas menyerbu beberapa premis tumpuan yang menjadi tempat pekerja mereka di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Serbuan yang diadakan itu melibatkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa negeri bermula kelmarin hingga jam 2 petang semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan dilakukan di 21 lokasi termasuk kedai makan, pusat servis dan baik pulih kenderaan, pusat dobi, kedai aksesori kenderaan serta pusat refleksologi.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki warga Myanmar, lima lelaki Bangladesh, 10 lelaki Indonesia, lima lelaki Pakistan, enam lelaki Nepal dan seorang lelaki warga China.
“Turut ditahan seorang wanita Vietnam, 14 wanita Indonesia, 27 wanita Myanmar dan tujuh wanita warga China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun dan bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan serta pelanggan di premis terbabit.
Menurutnya, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut, tambah beliau.




