DUA lelaki warga Indonesia disyaki dalang sindiket cap palsu ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Taman Kepong Indah dan Taman Dagang, Ampang semalam.
Dalam serbuan itu, semakan mendapati kedua-dua lelaki itu yang berusia 52 tahun, masing-masing dikenali sebagai ‘Padi’ dan ‘Amir’ tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek dikenali sebagai ‘Amir’ pernah ditahan pada Jun tahun lalu atas kesalahan sama dan telah dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan dalam sistem imigresen.
“Dia bagaimanapun dipercayai masuk semula ke Malaysia menggunakan pintu masuk yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, modus operandi sindiket tersebut adalah menyediakan ‘perkhidmatan imigresen’ dengan menawarkan endorsemen masuk dan keluar dipercayai palsu bagi warga Indonesia yang berada di Lembah Klang dan telah tinggal lebih masa di negara ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu itu menggunakan platform media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan TikTok untuk mencari pelanggan, dan mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM350 bagi setiap endorsemen.
Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita 20 unit cap keselamatan imigresen dipercayai palsu, 16 pasport Indonesia, empat Surat Perjalanan Laksana Paspor Indonesia, dua telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak dan mesin pengimbas serta dua kenderaan yang disyaki digunakan sindiket terbabit.
Zakaria berkata, kedua-dua lelaki itu dibawa ke ibu pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.


