Operasi SAR tiga remaja dikhuatiri lemas diperluas hingga dua batu nautika

GERAKAN mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja lelaki yang masih hilang selepas dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat di Tanjung Balau, Bandar Penawar semalam, diperluaskan sehingga dua batu nautika dari lokasi kejadian.

Mangsa yang masih belum ditemukan ialah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal yang kesemuanya berusia 16 tahun.

Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan SAR dengan bantuan penduduk kampung pada jam 1.25 petang semalam, kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, perluasan sektor pencarian itu dilakukan susulan penemuan mangsa pertama yang ditemukan lebih 500 meter dari lokasi kejadian.

“Penemuan mangsa pertama menimbulkan kemungkinan mangsa lain turut dihanyutkan arus keluar dari kawasan asal kejadian.

“Untuk keluasan pencarian hari ini, kita tingkatkan keluasan pencarian di laut daripada satu batu nautika kepada dua batu nautika ke arah barat laut dari kawasan Pantai Tanjung Lompat,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini, lapor BH.

Media semalam melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas, manakala dua lagi berjaya diselamatkan ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 8 pagi semalam. Mayat seorang remaja ditemukan dan tiga lagi masih hilang.

Mohd Najib berkata, operasi SAR bagi mengesan tiga mangsa berkenaan disambung semula pada jam 7 pagi ini membabitkan 41 anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, aset yang digunakan termasuk milik Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain dibantu penduduk setempat.

“Maritim Malaysia menggunakan sebuah aset, PDRM menerusi Pasukan Polis Marin menggunakan dua bot, manakala JBPM turut menggerakkan sebuah bot.

“Selain pencarian di laut, operasi di darat turut dijalankan bagi mengesan sebarang petunjuk,” katanya.

Mohd Najib berkata, dua dron milik Maritim Malaysia dan JBPM turut digunakan bagi membantu pencarian dari udara dalam radius sehingga 20 kilometer.

Mengulas keadaan cuaca, beliau berkata keadaan laut pagi ini sedikit berombak dengan ketinggian ombak kira-kira 1.15 meter.

Katanya, keadaan dijangka berubah apabila air mula pasang sekitar tengah hari, manakala cuaca pada sebelah petang berkemungkinan menjadi lebih buruk.

“Kita mengambil kira faktor cuaca dan keadaan air dalam merancang pencarian. Ketika kejadian, keadaan air adalah surut dan kita bimbang mangsa mungkin telah berada jauh dari pantai sebelum dihanyutkan arus.

“Jadi, kita perluaskan kawasan pencarian untuk memastikan tiada kawasan yang berpotensi terlepas,” katanya.

Mohd Najib berkata, pihak berkuasa negara jiran turut dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru.

Bagaimanapun, katanya, pencarian ketika ini masih tertumpu di perairan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here