OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras di Kajang semalam, ditangguhkan jam 7.30 malam tadi dan akan disambung jam 8 pagi esok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebanyak 22 anggota penyelamat termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi hari ini.
Menurut beliau, operasi pencarian melibatkan kawasan dalam radius kira-kira lima kilometer.
“Setakat jam 7.30 malam tadi mangsa masih belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi media malam ini.
Dalam kejadian semalam, Nur Qaseh Dendra, 9, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh, sebelum dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Nordina Zulkarnain, 34, memberitahu, kawasan lapang bersebelahan Kondominium Sri Hijau itu sering menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain termasuk anaknya.
“Semalam dia main sebab semalam cuti bersama kawan-kawan lain yang juga penduduk di pangsapuri itu.
“Selepas kejadian berlaku, abang dia, juga anak kedua saya naik ke rumah dan bagi tahu saya dan suami,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Nordina berkata, suaminya kemudian segera menelefon talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.
Mengulas penemuan barangan di sekitar kawasan pencarian hari ini termasuk selipar, beliau mengesahkan ia bukan milik anaknya.
Sementara itu, datuk mangsa, Zulkarnain Ahmad, 57, yang bergegas dari Seremban ke lokasi kejadian semalam berkata, dia merasa amat bimbang dan terkesan ke atas insiden yang menimpa cucunya itu.
“Saya rapat juga dengan dia. Saya tak boleh tidur sejak semalam. Hari ini, saya mengikuti pihak penyelamat mencari cucu saya di sekitar kawasan pencarian,” katanya.


