SEORANG wanita warga Australia yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Santubong ditemui selamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), tengah hari tadi.
Mangsa, Belinda Lapier, 46, ditemui di kawasan gaung berhampiran Level 7, lokasi terakhir yang dikongsikannya kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke pusat kawalan pada jam 2.35 petang selepas operasi disambung semula pada jam 8 pagi.
“Pada jam 12 tengah hari tadi, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa di kawasan gaung berdekatan Level 7 Gunung Santubong.
“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan berupa calar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mendaki secara bersendirian walaupun sebelum itu dinasihatkan supaya menyertai kumpulan pendaki lain.
Beliau berkata, ketika turun dari Level 10, mangsa dipercayai tersasar kira-kira 700 meter dari laluan utama sebelum memasuki kawasan gaung.
Operasi SAR ditamatkan sejurus mangsa berjaya diselamatkan.


