SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited bertindak secara adil, telus dan berani dalam melaksanakan setiap siasatan tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.
Langkah ini penting bagi memastikan imej, reputasi serta wibawa SPRM selaku agensi penguatkuasaan negara kekal terpelihara daripada sebarang persepsi negatif masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, usaha mempertahankan integriti dan kekal berprinsip tinggi akan sentiasa menjadi keutamaan warga SPRM agar kepercayaaan masyarakat terhadap organisasi ini tidak terhakis.
“SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut (without fear or favour).
“Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terlibat sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya semalam.
Dalam pertemuan hampir sejam itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu-isu perundangan serta inisiatif SPRM dalam memperkukuh agenda antirasuah negara.
Kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian daripada siri pertemuan strategik Abd Halim selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 13 Mei lalu.





