KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman hari ini menyatakan komitmen akan memberi tumpuan kepada kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum dalam membanteras amalan rasuah di negara ini.
Beliau berkata, kes-kes sedemikian akan sentiasa dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pihak berkuasa yang memutuskan tindakan undang-undang ke atas kes-kes yang disiasat SPRM.
Menurutnya, beliau juga komited untuk terus mereformasikan dan memperkukuh SPRM sejurus mengambil alih kepemimpinan agensi itu.
“SPRM akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang sedia terjalin dengan AGC. Kerjasama itu membabitkan kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum yang akan sentiasa dirujuk kepada AGC, selaku pihak berkuasa yang memutuskan tindakan undang-undang ke atas kes-kes disiasat SPRM.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, mereformasi dan memperkukuhkan SPRM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abd Halim mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Sementara itu, Mohd Dusuki turut merakamkan penghargaan di atas kesudian Abd Halim yang membuat kunjungan hormat pertamanya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ke atas AGC.
“AGC dan SPRM berpisah tiada. Kerjasama yang terjalin akan diteruskan,” katanya.
Yang turut hadir sempena kunjungan hormat itu ialah Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin dan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud.
Abd Halim memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kelmarin.
Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan kontraknya secara rasmi selepas 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.


