SPRM Selangor perkukuh aspek penguatkuasaan – Abd Halim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan terus memperkukuh pengurusan organisasi dan operasi agensi itu bagi memastikan aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan kebajikan warga kerja dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setiap siasatan yang dijalankan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti supaya tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti siasatan SPRM.

ABD Halim Aman menyampaikan taklimat ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Selangor di Shah Alam semalam. GAMBAR: SPRM

“Pegawai penyiasat juga diingatkan supaya membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan bagi setiap pertuduhan kes ke mahkamah agar pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kompleks SPRM Selangor bagi meninjau perkembangan operasi, pengurusan serta usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan di negeri itu, di Shah Alam semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.

Terdahulu, ketibaan beliau disambut Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli bersama barisan pegawai negeri sebelum menghadiri sesi taklimat berkaitan Kompleks SPRM Selangor, sumber manusia, program pendidikan antirasuah serta cabaran yang dihadapi.

Pada lawatan itu, Mohd Azwan turut membentangkan statistik operasi bagi tempoh tiga tahun termasuk perkembangan kes berimpak tinggi yang dikendalikan oleh SPRM Selangor.

Abd Halim turut menegaskan bahawa pendidikan antirasuah perlu terus dipergiatkan khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran.

“Teruskan usaha menerapkan mesej antirasuah serta tingkatkan lagi aktiviti untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar baik di peringkat sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Jangan ketepikan kebajikan pegawai dan kakitangan dan perlulah menjaga hubungan yang baik dengan mereka,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img