PAU 2026 ruang terbaik fokus hala tuju, transformasi UMNO – Asyraf Wajdi

HALA tuju UMNO, termasuk penentuan kerjasama politik parti pada masa depan, dijangka menjadi antara perkara utama yang bakal dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PAU adalah platform terbaik untuk menentukan hala tuju parti, termasuk sama ada meneruskan kerjasama dalam Kerajaan MADANI.

Katanya, perkara itu bagaimanapun perlu diserahkan kepada perwakilan untuk dibahaskan dan diputuskan secara terbuka.

“Perhimpunan Agung UMNO kalau mengikut Perlembagaan, ini akan menentukannya.

“Jadi bagi saya, itulah platform yang terbaik untuk kita menentukan hala tuju parti, sama ada nak meneruskan kerja perpaduan itu dengan siapa, untuk kita bekerjasama, itu terserahlah kepada perwakilan.

“Yang paling penting sekali, kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini adalah medan yang terbaik, pertama untuk kita menghisab, melakukan introspeksi dalaman parti, apakah kita benar-benar melakukan proses transformasi parti yang diharapkan oleh kepimpinan,” katanya dalam sidang media khas menjelang PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Asyraf, perhimpunan kali ini juga penting bagi membolehkan kepimpinan mendengar sendiri suara akar umbi mengenai masa depan UMNO.

Katanya, antara perkara yang dibangkitkan menerusi usul daripada 157 bahagian adalah hala tuju dan kerjasama politik UMNO, khususnya berkaitan kedudukan parti dalam Kerajaan MADANI, selain agenda ‘Rumah Bangsa’ yang digagaskan pada PAU lalu.

Beliau berkata, UMNO juga perlu memanfaatkan PAU sebagai medan untuk memperkukuh kesatuan parti, termasuk meneruskan usaha menerima kembali ahli yang bersedia untuk kembali kepada parti.

“UMNO ini kekuatannya adalah kesatuan. Kalau UMNO itu bersatu dan bersetia dan terus berkhidmat kepada rakyat, seperti mana slogan kata UMNO, UMNO akan dilihat dan dipandang dengan lebih terhormat dan bermaruah,” ujarnya.

PAU 2026 akan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini di WTCKL, dengan seramai 6,401 perwakilan dijangka hadir.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here