Penyatuan UMNO-Pas bukan untuk kepentingan parti, tetapi umat Islam – Dusuki

MAJLIS Ulama UMNO mahu kerjasama antara parti itu dengan Pas dimeterai secara lebih kukuh dan tidak lagi hanya bersandarkan rundingan serta muafakat.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, penyatuan itu sangat penting dalam menghadapi pelbagai masalah dan pertembungan yang dijangka berlaku pada masa akan datang, selain mengambil kira perkembangan dunia yang semakin terbuka.

Katanya, usaha penyatuan yang dilakukan ketika ini adalah satu ijtihad baik dan perlu didoakan supaya kerjasama berkenaan berjaya serta diberkati Allah.

“Selama ini kita hanya berunding dan berunding. Muafakat dan muafakat, kerjasama dalam bentuk begitu sahaja. Kita mengharap untuk akan datang, supaya kerjasama itu dimeteraikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 di Kota Bharu hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, ahli jawatankuasa serta wakil Parti Wawasan Negara (Wawasan), Almidi Jaafar. Muktamar pergerakan itu dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dusuki dalam pada itu berkata, kerjasama berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk kepentingan UMNO dan Pas, sebaliknya perlu diperluas demi kepentingan seluruh umat Islam.

“Bukan sahaja bagi kepentingan UMNO dan Pas malah seluruh umat Islam. Keadaan dunia ketika ini yang semakin terbuka menjadikan usaha penyatuan umat Islam sebagai sesuatu yang amat penting.

“Kerana dalam dunia sekarang ini, dunia langit terbuka dan sebagainya, penyatuan itu adalah amat penting sekali. Saya berasakan ijtihad yang kita buat hari ini dengan penyatuan itu, dengan kerjasama untuk akan datang, itu adalah amat baik,” ujarnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here