Malaysia, Indonesia akan tubuhkan jawatankuasa BTA, perkasa perdagangan rentas sempadan

MALAYSIA dan Indonesia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) bagi memudah cara proses perdagangan rentas sempadan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan sistem yang lebih cekap, ia dapat membantu meningkatkan jumlah eksport dan import kedua-dua negara.

“Salah satu perkara yang kita bincangkan tadi ialah berkenaan BTA. Jadi, ia dapat membantu aliran masuk produk ke kedua-dua negara dan meningkatkan eksport dan import antara Malaysia dan Indonesia.

“Seperti tahun lepas, kita eksport ke Indonesia adalah sekitar RM51 bilion. Kemudian, kita import dari Indonesia adalah RM62 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-4 Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan Malaysia–Indonesia di Jakarta hari ini, lapor Buletin TV3.

BTA Malaysia-Indonesia adalah perjanjian dua hala yang pada asalnya ditandatangani pada 1970, kemudian ditambah baik pada 2023.

Tambah beliau, antara perkara lain yang dibincangkan termasuk memperkukuh kerjasama antara Kamar Dagang dan Industri Indonesia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia serta memudahkan proses pihak berkepentingan Malaysia mendapatkan pensijilan wajib Indonesian National Standard.

Mesyuarat itu turut meneroka potensi kerjasama dua hala dalam industri halal, e-dagang dan pertanian.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso berharap, perdagangan dua hala bersama Malaysia terus meningkat menerusi penambahbaikan yang telah dicapai dalam mesyuarat itu.

“Jumlah perdagangan kita harapkan terus meningkat. Jadi, eksport Malaysia ke Indonesia meningkat. Eksport Indonesia ke Malaysia juga meningkat.

“Saya fikir, kita sama-sama negara ASEAN dan kita secara keluargaan, kebudayaan sangat dekat. Saya fikir, ini sangat bagus untuk terus saling meningkatkan kepercayaan masing-masing,” katanya.

Budi berkata, dengan kekuatan kepercayaan diletakkan antara kedua-dua negara, ia dapat membantu memudahkan proses perdagangan dan pelaburan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here